Diabetes Semasa Hamil
Apakah Diabetes Melitus?
Diabetes
Mellitus adalah sejenis gangguan atau ketidakaturan yang menghalang
badan dari menggunakan makanan dengan berkesan. Karbohidrat ringkas
(gula di dalam minuman ringan, kek, atau jem) dan karbohidrat kompleks
(kanji di dalam nasi dan mee) akan dihadamkan di dalam badan untuk
membentuk glukosa. Glukosa dalam aliran darah kemudiannya akan
dicernakan di dalam pelbagai tisu badan dan proses ini dikawal atur oleh
insulin. Insulin merupakan hormon yang dihasilkan oleh pankreas iaitu
organ kecil yang terletak di belakang perut. Kekurangan insulin dan/atau
rintangan insulin (insulin resistance) menyebabkan glukosa tidak dapat
memasuki sel badan di mana ia digunakan sebagai sumber tenaga,
sebaliknya glukosa akan terkumpul di dalam darah dengan berlebihan dan
menyebabkan diabetes melitus.
Apakah yang dimaksudkan Diabetes Mellitus semasa kehamilan?
Diabetes
semasa hamil atau biasanya dipanggil sebagai Gestational Diabetes
Mellitus (GDM) merupakan satu keadaan serius yang berlaku kepada wanita
hamil yang sebelum ini tidak mengetahui ada menghidap diabetes, tetapi
kini mempunyai paras glukosa darah yang lebih tinggi dari paras mereka
yang hamil normal.
Apakah bezanya antara diabetes semasa kehamilan dengan diabetes yang lain?
Di
luar kehamilan, diabetes dikelaskan sama ada Diabetes Mellitus Jenis 1
(Type 1) atau Jenis 2 (Type 2). Sebelum ini Diabetes Jenis 1 dikenali
sebagai Diabetes Mellitus bersandarkan Insulin (Insulin Dependent
Diabetes Mellitus, IDDM) dan Jenis 2 sebagai Diabetes Melitus tidak
bersandarkan Insulin (Non-Insulin Dependent Diabetes Mellitus, NIDDM).
Lebih 90% pesakit Diabetes menghidap Diabetes Jenis 2. Bagi kes Diabetes
Jenis 1, insulin yang dihasilkan oleh sel beta-islet di dalam pankreas
adalah tidak mencukupi atau tiada langsung. Manakala bagi Diabetes Jenis
2, reseptor insulin yang tidak sensitif dianggap menjadi penyebab utama
masalah ini dan pesakit Jenis 2 biasanya mempunyai berat badan
berlebihan atau gemuk. Semasa kehamilan, kesan insulin akan terganggu
sedikit disebabkan oleh pelbagai hormon yang dihasilkan oleh
plasenta/uri (organ yang membekalkan zat pemakanan kepada bayi melalui
tali pusat) . Ini dikenali sebagai rintangan insulin. Beberapa hormon
seperti estrogen, kortisol dan human placental lactogen akan mengganggu
pengeluaran insulin. Plasenta anda akan membesar pada trimester kedua
dan ketiga, di mana lebih banyak hormon penghalang dikeluarkan dan
seterusnya menyebabkan rintangan yang lebih tinggi terhadap tindakan
insulin.3
Semakin plasenta membesar semakin banyaklah hormon-hormon
ini dihasilkan dan semakin tinggi rintangan insulin yang terjadi.
Lazimnya, organ pankreas akan bertindak balas dengan menghasilkan
insulin tambahan untuk menangani rintangan tersebut. Jika ia gagal maka
GDM akan berlaku. Biasanya pesakit akan pulih selepas melahirkan anak.
Walau bagaimanapun pesakit menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk
menghidap diabetes kemudian nanti.
Adakah GDM kerap berlaku?
GDM
biasanya dikesan pada minggu ke 24 hingga minggu ke 28 kehamilan dan
berlaku kepada 1-14% peratus wanita hamil setiap tahun.4 Jika tidak
dirawat, GDM boleh menyebabkan komplikasi yang serius kepada ibu dan
bayi yang di kandung.
Siapakah yang berisiko mengalami GDM?
Sesiapa
sahaja boleh mengalami GDM semasa kehamilan. Pesakit yang sememangnya
menghidapi diabetes berisiko tinggi menghidap GDM. Namun, wanita boleh
menghidap GDM tanpa sebarang penyakit diabetes sebelumnya. Faktor-faktor
yang berkaitan dengan kemungkinan berlakunya GDM termasuklah:
| Sejarah keluarga menghidapi diabetes |
| Wanita berumur (> 25 tahun) |
| Berat badan yang berlebihan sebelum hamil |
| Menghidap GDM ketika kehamilan yang lalu |
| Mengalami
masalah yang berkaitan semasa hamil seperti hipertensi, penghasilan
cecair amnion berlebihan (polihidramnios), keguguran |
| Pernah melahirkan bayi yang bersaiz besar (>4kg) ketika kelahiran terdahulu, lahir mati, atau bayi yang dilahirkan cacat |
| Jangkitan Kandidiasis faraj yang berulang-ulang dan jangkitan kulat pada kulit |
GEJALA/TANDA
Lazimnya
wanita tidak menunjukkan sebarang tanda amaran walaupun kemungkinan
sesetengah wanita merasa teramat dahaga, kerap buang air kecil dan
kelesuan. Ramai wanita yang menghidap GDM tidak menunjukkan sebarang
faktor risiko.
Doktor akan menjalankan ujian darah Oral Glucose
Tolerance Test (OGTT) ke atas anda untuk mengesan GDM sama ada semasa
lawatan pertama jika anda berisiko tinggi atau pada minggu ke 24 hingga
28 kehamilan, jika risiko anda tidak begitu tinggi.
Apakah ujian OGTT?
Ujian
akan dijalankan selepas pesakit berpuasa semalaman dari pukul 10.00
malam sebelumnya. Sampel darah untuk menentukan paras gula dalam darah
akan diambil pada awal pagi diikuti meminum glukosa (75 gm glukosa di
larutkan dalam 250ml air). Ujian ini selesai apabila pengukuran paras
gula dalam darah diambil 2 jam berikutnya.
Interpretasi hasil ujian
| Venous plasma glucose (mmol/l) |
| Fasting | 2 hours post glucose load |
| Normal | < 6.1 | < 7.8 |
| GDM | - | > 7.8 |
Bacaan
di bawah 7.8 mmol/L biasanya dianggap normal untuk ujian OGTT ini
tetapi doktor mungkin akan mengulangi ujian tersebut jika anda berisiko
tinggi.
RAWATAN
Rawatan
untuk GDM termasuklah mengambil langkah-langkah untuk memastikan paras
glukosa darah anda sentiasa berada di paras normal ketika mengandung.
Doktor
akan menasihatkan anda supaya mengikuti pelan pemakanan yang sesuai dan
juga meningkatkan aktiviti fizikal supaya paras glukosa darah yang
tinggi dapat dikurangkan. Anda juga perlu memantau paras glukosa darah
anda dengan kerap (secara ideal, 4 hingga 6 kali sehari) bagi memastikan
paras glukosa darah sentiasa berada di tahap yang normal.
Sesetengah
wanita yang menghidap GDM mungkin memerlukan suntikan insulin, selain
daripada amalan pemakanan sihat dan bergiat aktif dalam aktiviti
fizikal, untuk mencapai paras glukosa darah yang disarankan.
Ubat
oral antidiabetik (OAD) secara amnya tidak disarankan ketika
mengandung. Tetapi, terdapat kajian-kajian terkini yang menunjukkan
bahawa sesetengah OAD adalah selamat untuk digunakan ketika hamil.
Doktor mungkin mempreskripsikan salah satu ubat-ubatan ini jika peningkatan paras glukosa darah anda tidak terlalu tinggi.
Berita
baiknya, pemantauan paras glukosa darah yang kerap di samping
mengamalkan diet sihat dan kerap bersenam adalah sudah cukup untuk
mengawal GDM anda sekali gus dapat mengurangkan risiko terhadap anda dan
bayi.
Selepas bayi anda dilahirkan dan hormon plasenta sudah
tidak lagi mengalir dalam badan anda, paras glukosa dalam darah anda
biasanya akan kembali ke paras normal (melainkan jika paras glukosa anda
sememangnya sudah tinggi, tetapi tidak disedari, sebelum hamil). Oleh
itu, anda tidak perlu berasa terlalu bimbang terhadap keadaan ini, namun
begitu, anda perlu menjaga diri dengan baik dan nikmatilah kehamilan.
Jika
anda memang menghidap diabetes dan bercadang untuk hamil, anda perlu
berusaha untuk mengawal diabetes pada tahap optima beberapa bulan
sebelum mengandung kerana paras glukosa yang tinggi semasa trimester
pertama akan meningkatkan risiko kelahiran bayi cacat.
Mengapa diet yang khusus disyorkan?
Diet
seimbang yang berkhasiat amat perlu untuk mengekalkan kesihatan ibu
yang sihat dan kehamilan yang berjaya. Bagi wanita yang mengalami GDM,
diet yang sempurna dapat memastikan paras gula dalam darah adalah normal
dan secara amnya ia adalah langkah pertama yang dilakukan sebelum
menggunakan terapi insulin. Tumpukan sepenuh perhatian terhadap
pengambilan kalori setiap hari dan pemilihan makanan yang betul untuk
mengekalkan paras gula di dalam darah. Keperluan kalori setiap hari
meningkat sebanyak 300 kalori semasa trimester kedua dan ketiga
kehamilan. Jika pengambilan kalori semasa tidak hamil adalah 1800 kcal
sehari dan berat badan kekal, pengambilan kalori sebanyak 2100 kalori
setiap hari adalah biasa dari tempoh 14 minggu kehamilan hingga proses
kelahiran.
Berikut adalah pola pemakanan yang baik untuk mengekalkan paras gula yang normal di dalam darah:
| Mengambil karbohidrat kompleks (bijirin, kekacang, peas, sayur-sayuran, dan makanan berkanji). |
| Mengambil makanan yang kaya serat (buah-buahan, sayur-sayuran, legum, roti gandum tulen, dan lain-lain). |
| Mengambil makanan yang kaya serat (buah-buahan, sayur-sayuran, legum, roti gandum tulen, dan lain-lain). |
| Memastikan
diet yang rendah lemak, terutama lemak tepu (mentega, daging berlemak,
krim dan lain-lain). Pilihlah hirisan nipis daging dan ayam tanpa kulit. |
| Elakkan makanan yang bergoreng. |
Perlukah melakukan senaman?
Aktiviti
fizikal sederhana yang kerap dapat mengurangkan risiko disebabkan oleh
GDM dengan meningkatkan keberkesanan tindakan insulin dalam sel-sel
badan anda, sekali gus mengekalkan paras glukosa darah yang optimal.
Ia juga dapat membantu mencegah keadaan ketidakselesaan semasa hamil seperti sembelit, sakit belakang dan kekejangan otot.
Berjalan, meregangkan badan dan mengangkat pemberat ringan dapat membantu anda mengeluarkan peluh semasa kehamilan.
Bermulalah
dengan sesi selama 15 minit sebanyak tiga kali seminggu dan tingkatkan
kekerapan dan tempoh bersenam secara beransur-ansur, jika anda berasa
selesa dengan senaman itu.
Banyakkan minum air untuk mencegah
penyahhidratan dan amalkan langkah berjaga-jaga apabila bersenam semasa
hamil. Berat tambahan yang anda tanggung di abdomen akan mengalihkan
pusat graviti anda.
Oleh itu, elakkan aktiviti yang dapat
membuatkan anda tidak seimbang. Hentikan senaman jika anda mengalami
sebarang kesakitan, pening, sesak nafas, berasa hendak pitam,
berdebar-debar, sakit belakang atau pelvis, atau mengalami pendarahan
faraj.
Apakah yang berlaku jika amalan diet dan senaman gagal mengawal paras gula dalam darah?
Bagi
sesetengah kes, walaupun anda telah mengamalkan pengawalan diet yang
ketat dan menjalani senaman yang teratur, paras glukosa darah anda masih
lagi berada di luar paras yang disyorkan.
Pada keadaan sebegini,
doktor anda mungkin akan mengesyorkan suntikan insulin. Insulin tidak
boleh diberi secara oral kerana ia akan dihadamkan seperti protein di
dalam makanan dan menyebabkan kesan terapeutiknya hilang. Ia selamat
digunakan semasa hamil dan hanyalah bersifat sementara kerana bagi
kebanyakan kes, paras glukosa darah anda akan kembali normal selepas
bersalin.
Ia diberi secara suntikan di bawah kulit dengan
menggunakan jarum yang sangat halus, oleh itu anda akan merasa kurang
selesa sedikit ketika suntikan diberi. Ia selalu dilakukan oleh anda
sendiri dan anda akan diajar oleh doktor atau jururawat bagaimana untuk
melakukannya. Jumlah insulin yang diperlukan untuk memastikan paras
glukosa darah dalam tahap normal akan meningkat mengikut perkembangan
kehamilan. Ini tidak bermakna GDM semakin teruk. Uri yang membesar
seiring dengan berlanjutnya kehamilan akan menghasilkan paras hormon
yang menentang tindakan insulin yang semakin meningkat. Akhirnya anda
memerlukan lebih insulin untuk mengatasi kesannya.
Bagaimana mengendalikan suntikan insulin?
Doktor
atau jururawat terlatih akan mengajar anda teknik suntikan insulin
apabila rawatan diperlukan. Ia merupakan suntikan yang biasanya
dilakukan di bawah kulit di bahagian tisu subkutaneus. Kawasan suntikan
yang biasa ialah di bahagian hadapan peha atas. Suntikan di bahagian
abdomen boleh dilakukan.
Penjagaan ubat-ubatan dan jarum
Insulin
mesti disimpan di bahagian kering dalam peti sejuk, seperti di tempat
menyimpan hasil tenusu. Anda digalakkan menggunakan jarum baru untuk
setiap suntikan. Penggunaan jarum yang sama berulang kali boleh
menyebabkannya menjadi kurang tajam dan rasa sakit apabila suntikan
dilakukan.
Memantau glukosa darah dengan kerap

Memantau
paras glukosa darah anda setiap hari adalah penting kerana ia dapat
menunjukkan bahawa rawatan anda berkesan ataupun tidak.Ia juga akan
membantu anda menentukan sama ada anda memerlukan perubahan dalam pelan
diet, program aktiviti fizikal atau ubat-ubatan yang anda ambil.Secara
idealnya, anda perlu memantau paras glukosa darah anda sebanyak empat
hingga enam kali sehari.
Paras glukosa darah perlu diambil pada
waktu pagi apabila anda bangun (paras 'berpuasa') dan satu atau dua jam
selepas setiap hidangan (paras 'selepas makan'). Pengukuran paras
glukosa darah sebelum makan juga digalakkan untuk membolehkan
pengubahsuaian dos insulin untuk disuntikkan sebelum hidangan.Terdapat
bukti yang menunjukkan bahawa pengawalan paras glukosa darah 'selepas
makan' adalah lebih baik untuk ibu dan bayi berbanding pengawalan paras
glukosa darah ketika 'berpuasa'.
Doktor mungkin menasihatkan anda
untuk memeriksa paras glukosa darah sebelum dan selepas bersenam bagi
memastikan anda tidak mengalami hipoglisemia (glukosa darah rendah)
semasa bersenam.
Semasa anda hamil, sasaran paras glukosa darah
yang disyorkan untuk anda adalah lebih ketat berbanding orang biasa yang
menghidap diabetes. Ini penting kerana paras glukosa darah yang di luar
batasan dikaitkan dengan kadar komplikasi lebih tinggi untuk ibu
mengandung dan bayi yang dikandung.
Bagi mengurangkan risiko
komplikasi untuk wanita yang menghidap GDM, paras glukosa darah yang
disyorkan ialah 5.3 mmol/L atau kurang semasa berpuasa atau 6.7 mmol/L
atau kurang dua jam selepas makan. Untuk ukuran sebelum makan, disyorkan
paras glukosa darah ialah 5.5 mmol/L atau kurang.
Doktor anda
akan berbincang dengan anda tentang paras glukosa darah yang disarankan
untuk diri anda. Ujian air kencing untuk memeriksa paras glukosa adalah
tidak digalakkan kerana ia tidak tepat terutamanya semasa kehamilan.
Walaubagaimanapun
doktor anda mungkin mengesyorkan agar anda memeriksa kehadiran keton di
dalam air kencing anda, untuk memastikan anda ada mendapat kalori yang
secukupnya dan anda tidak pula sebegitu ketat dengan pengambilan
karbohidrat. Keton adalah hasil sampingan dari penguraian lemak. Ia
boleh dijumpai di dalam darah dan air kencing akibat insulin yang tak
mencukupi atau kalori yang tidak mencukupi dalam diet anda. Walaupun
tidak diketahui jumlah keton yang boleh mengancam bayi, keton yang
banyak akan disertai dengan asidosis, iaitu satu keadaan yang boleh
mengancam bayi.
Sebagai langkah keselamatan, anda perlu mengawasi
kehadirannya dalam air kencing dan melaporkan sebarang keputusan yang
positif kepada doktor. Untuk menguji kehadiran keton di dalam air
kencing, anda boleh menggunakan jalur ujian khusus yang telah dirawat
dengan bahan kimia. Ujian dapat dilakukan dengan mendedahkan sehelai
jalur pakai buang pada aliran air kencing atau mencelup jalur ke dalam
bekas yang mengandungi air kencing. Jalur akan berubah warna bergantung
kepada jumlah keton yang hadir di dalam air kencing. Warna jalur
bolehlah dibandingkan pada carta untuk menunjukkan paras keton.
Penasihat kesihatan boleh menasihatkan anda masa yang sesuai untuk
melakukan ujian dan berapa kerap anda perlu melakukannya.
Elakkan alkohol dan merokok
Anda
tidak disarankan mengambil alkohol sepanjang tempoh kehamilan kerana ia
mungkin dapat menjejaskan bayi anda. Elakkan merokok sepenuhnya kerana
kajian telah membuktikan bahawa pendedahan kepada asap rokok walaupun
sebagai perokok pasif, boleh menjejaskan perkembangan yang sihat untuk
bayi anda.
Apakah yang berlaku jika paras gula di dalam darah menjadi lebih rendah?
Paras
gula yang rendah di dalam darah (hipoglisemia) merupakan komplikasi
yang mungkin berlaku jika seseorang telah mengambil rawatan insulin
untuk GDM. Ini mungkin berlaku jika anda lambat mengambil sarapan atau
bersenam lebih dari yang biasa. Ia merupakan kes kecemasan dan perlu
dirawat dengan teliti. Jika terdapat gejala hipoglisemia (kekeliruan,
pening, penglihatan kabur, berpeluh, terketar-ketar, tersangat lapar)
anda perlu mengambil sebarang bentuk gula dengan segera. Apabila anda
menggunakan insulin, anda perlulah membawa gula atau makanan/minuman
manis (kandi yang manis, minuman berglukosa) sebagai langkah
berjaga-jaga. Doktor perlu diberitahu mengenai sebarang reaksi
hipoglisemia yang berlaku. Ia mungkin menyebabkan pengubahsuaian dos
atau jenis insulin yang anda gunakan.
KOMPLIKASI
Ini
bergantung pada tahap penjagaan kesihatan diri anda sendiri. Jika paras
gula di dalam darah dapat dikawal dengan baik sepanjang kehamilan,
komplikasi untuk mengalami masalah ini dapat dikawal dan dicegah.8 Jika
paras gula di dalam darah berlebihan, maka ia akan berpindah ke bayi
menerusi plasenta dan menyebabkan bayi anda juga mengalami paras glukosa
darah yang tinggi. Oleh kerana itu, pankreas bayi anda turut bertindak
menghasilkan insulin tambahan untuk merendahkan paras glukosa darah yang
tinggi
Bayi akan mendapat tenaga (dalam bentuk glukosa) yang
berlebihan dari yang diperlukannya, dan tenaga lebihan ini akan
tersimpan sebagai lemak badan yang akan menyebabkan makrosomia
(didefinisikan sebagai bayi yang lahir dengan berat 4.0kg atau lebih).
Jika
bayi anda mengalami makrosomia, dia berkemungkinan akan menghadapi
masalah kesihatan yang serius seperti kecederaan di bahu semasa
kelahiran dan meningkatkan risiko untuk menjalani pembedahan Caesarean.
Walaupun tidak mempunyai makrosomia yang nyata, bayi anda mungkin
mempunyai paras glukosa darah yang sangat rendah (hipoglisemia) selepas
dilahirkan disebabkan pengeluaran insulin berlebihan daripada pankreas
bayi anda. Hormon insulin berlebihan ini juga merangsang pembesaran bayi
yang berlebihan atau makrosomid.
Paras gula di dalam darah bayi
akan diawasi dengan teliti semasa penjagaan bayi dan adalah perlu
memberi glukosa secara intravena kepada bayi jika paras gula terlalu
rendah. Bayi juga mudah terdedah kepada Jaundis yang berpanjangan,
ketidakimbangan paras elektrolit di dalam darah seperti paras serum
kalsium dan magnesium yang rendah, masalah pernafasan mahu pun kecacatan
bayi.10 Adalah dipercayai bahawa bayi yang bersaiz besar cenderung
menjadi obes di masa akan datang.
Bayi anda juga berisiko untuk menjadi obes dan menghidap diabetes jenis 2 apabila dewasa kelak.
Pemeriksaan
ultrasound semasa antenatal adalah berguna untuk mengawasi saiz bayi
dan mengesan polihidramnios serta keabnormalan bayi. Seperti pesakit
diabetes yang lain, ibu yang hamil dengan GDM adalah berisiko tinggi
untuk mengalami komplikasi seperti jangkitan pada saluran kencing,
diabetik ketoasidosis, dan jangkitan kulat pada kulit. Mereka juga mudah
terdedah kepada kelahiran pramatang disebabkan Polihidramnios dan bayi
yang bersaiz besar.
GDM juga boleh mendatangkan masalah kepada
ibu. Dalam kebanyakan kes, jika bayi anda besar, anda akan mengalami
kerumitan ketika melahirkan bayi dan anda mungkin perlu menjalani
pembedahan Caesarean.
Anda juga berisiko tinggi mendapat
praeklampsia (berkait dengan peningkatan tekanan darah yang tinggi yang
boleh menjadi serius, sehingga membahayakan keadaan bayi dan diri anda)
semasa kehamilan.
Anda juga lebih mudah untuk mendapat GDM lagi
semasa kehamilan akan datang. Menurut Institut Kesihatan Kebangsaan
(National Institute of Health, NIH) Amerika Syarikat, wanita yang pernah
mengalami GDM mempunyai 20 hingga 50 peratus kemungkinan untuk mendapat
diabetes jenis 2 dalam tempoh 5 hingga 10 tahun selepas kehamilan.
Walau
bagaimanapun, ini boleh dicegah - seperti yang telah dibuktikan dalam
beberapa kajian ternama yang menunjukkan bahawa pengubahsuaian gaya
hidup sahaja atau dengan penambahan ubat-ubatan oleh individu yang
berisiko tinggi (termasuk wanita yang menghidap GDM) dapat mengurangkan
risiko menghidap diabetes jenis 2 sehingga 58 peratus.
Adakah GDM menjejaskan proses pelahiran dan kelahiran?
GDM
itu sendiri bukanlah merupakan penunjuk bagi pembedahan Caesarean.
Namun jika bayi terlalu besar untuk menjalani kelahiran normal melalui
faraj, atau jika bayi dalam tidak dapat dilahirkan secara normal, maka
kelahiran secara Caesarean sangat diperlukan. Jika bayi sangat besar, ia
kemungkinan akan mengalami trauma semasa kelahiran, terutamanya
kecederaan tulang dan saraf di sekitar bahu.
Pastikan temu janji dengan doktor
Ini
adalah perkara yang paling penting kerana doktor akan dapat mengesan
awal sebarang komplikasi terhadap diri anda atau bayi serta memberi
nasihat sewajarnya bagi mengelak keadaan menjadi lebih buruk.
Apabila
anda disahkan menghidap GDM, anda dicadangkan untuk menjalani
pemeriksaan antenatal setiap 2 minggu sehingga kehamilan anda berusia 32
minggu dan selepas itu lakukan pemeriksaan setiap minggu sehinggalah
melahirkan bayi. Semasa pemeriksaan, pemeriksaan ultrasound akan
dilakukan untuk mengesan sebarang keabnormalan dan komplikasi di samping
mengawasi tumbesaran bayi. Profil gula di dalam darah akan diperiksa
sekurang-kurangnya setiap 2 minggu untuk menilai keberkesanan pengawalan
diabetes anda.
Ketika hampir bersalin, anda mungkin dinasihatkan
untuk memantau pergerakan bayi di rumah, sebagai contoh, dengan mengira
berapa banyak 'tendangan' yang anda rasai.
Berkemungkinan besar,
doktor anda akan mengaturkan tarikh bersalin anda pada minggu ke-38
kehamilan kerana bagi wanita yang menghidap GDM, risiko komplikasi
mungkin meningkat jika tempoh kehamilan menjangkau tempoh ini.
Jika
terapi insulin diperlukan semasa kehamilan, anda akan diberi suntikan
insulin pada waktu pagi semasa pelahiran bermula atau diberi melalui
intravena sepanjang proses pelahiran. Selepas bayi dilahirkan paras gula
di dalam darah biasanya akan kembali ke paras normal dan insulin tidak
diperlukan lagi.
Ujian OGTT perlulah dilakukan selepas 6 - 12
minggu selepas kelahiran untuk memastikan paras glukosa telah kembali
normal. Selepas itu, ujian saringan diabetes jenis 2 perlu dijalani
secara berkala5 dan disyorkan sekali setahun.
Berita baiknya
adalah, walaupun terdapat bahaya dari GDM ini, anda telah dapat lihat
secara jelas bagaimana diet yang terurus bersama-sama dengan senaman
yang kerap dapat membantu anda mengawal paras glukosa darah dan
mengurangkan risiko komplikasi untuk anda dan bayi anda.
Dengan
mematuhi garis panduan yang dijelaskan di atas, anda mempunyai peluang
yang baik untuk bersalin normal dan melahirkan bayi yang sihat walaupun
menghidap GDM.Yang penting - sentiasa berbincang dengan pasukan penjaga
kesihatan anda bagi mencapai matlamat.
Sumber: www.myhealth.gov.my
dikopipes
disini