TAZKIRAH HARIAN (23/01/13):
KISAH RASULULLAH S.A.W SEBAGAI PENGAJARAN SEMPENA MAULIDURRASUL S.A.W 1434H
Assalammualaikum wbt..
1) Kalau ada pakaian yang koyak, Rasullullah S.A.W menampalnya sendiri
tanpa perlu menyuruh isterinya. Baginda juga memerah susu kambing untuk
keperluan keluarga mahupun untuk dijual.
2) Setiap kali pulang
ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk
dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk
membantu isterinya di dapur. Sayidatina 'Aisyah menceritakan 'Kalau Nabi
berada di rumah, baginda selalu membantu urusan rumahtangga'
3) Jika mendengar azan, baginda cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang.
4) Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda teramat
lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan.
Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar.
Maka Nabi bertanya, 'Belum ada sarapan ya Khumaira?' (Khumaira adalah
panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang
kemerah-merahan') Aisyah menjawab dengan agak serba salah, 'Belum ada
apa-apa wahai Rasullullah'. Rasullullah S.A.W lantas berkata, 'Jika
begitu aku puasa saja hari ini', tanpa sedikit tergambar rasa kesal di
raut wajah baginda.
5) Sebaliknya baginda sangat marah tatkala
melihat seorang suami sedang memukul isterinya. Rasullullah S.A.W
menegur, 'Mengapa engkau memukul isterimu?' Lantas soalan itu dijawab
dengan agak gementar, 'Isteriku sangat keras kepala! Sudah diberi
nasihat dia tetap degil juga, jadi aku pukul lah dia'. 'Aku tidak
bertanyakan alasanmu,' sahut Nabi S.A.W. 'Aku menanyakan mengapa engkau
memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?'
6) Pernah
baginda bersabda, 'sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik, kasih dan
lemah lembut terhadap isterinya.' Prihatin, sabar dan tawadhuknya
baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun
menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.
7) Pada suatu
ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan
baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali.
Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada
tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina
Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya
setelah selesai bersembahyang, 'Ya Rasullullah, kami melihat seolah-olah
tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya
Rasullullah?' 'Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar.' 'Ya
Rasullullah... mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami
mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau
sedang sakit...' desak Umar penuh cemas....
Akhirnya
Rasullullah S.A.W mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut
baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu
kerikil, buat untuk menahan rasa lapar baginda. Batu-batu kecil itulah
yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh
baginda.
'Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan
tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?' Lalu
baginda menjawab dengan lembut, 'Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun
akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di
hadapan Allah nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada
umatnya?' 'Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah Allah buatku, agar
umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi
tiada yang kelaparan di Akhirat kelak'.
8) Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang dipenuhi kudis, miskin dan kotor.
9) Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar
oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan
penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di
dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.
10)
Kecintaannya yang tinggi terhadap Allah S.W.T dan rasa kehambaan yang
sudah sebati dalam diri Rasullullah S.A.W menolak sama sekali rasa
ketuanan.
11) Seolah-olah anugerah kemuliaan dari Allah
langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain,
ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan.
12) Pintu
Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi
berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah
hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah
bengkak-bengkak.
13) Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung
kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, 'Ya
Rasullullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih
bersusah payah begini?' Jawab baginda dengan lunak, 'Ya 'Aisyah,
bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi
hamba-Nya yang bersyukur.'
Bersyukur kita jadi Ummatnya dan mengamalkan segala sunnah Baginda.
Wallahu A'alam...
No comments:
Post a Comment