Wednesday, November 18, 2009

:: would i do the same ::

tertarik dengan article ini..
dicopy dr sini ya

'Usah cakap soal mati selagi masih bernafas'

Oleh Khairul Azran Hussin dan S Anand Kumar
bhnews@bharian.com.my


NANDO Parrado ketika menyampaikan seminar 'Youth Engagement Summit (YES) 2009' di Putrajaya International Convention Center (PICC)', Putrajaya, semalam. - Foto Afendi Mohamed

PUTRAJAYA: "Jangan cakap soal mati selagi kita masih bernafas". Itulah pengajaran diperoleh warga Uruguay, Fernando Parrado, 55, yang terselamat apabila pesawat dinaikinya terhempas di Pergunungan Andes pada 13 Oktober 1972 dan terus hidup 72 hari dengan hanya memakan daging manusia.

Malah, beliau yang lebih dikenali sebagai Nando bersama seorang lagi penumpang, Roberto Canessa juga berjalan 12 hari merentasi pergunungan salji tebal dengan suhu 40 darjah di bawah takat beku sebelum diselamatkan, menyifatkan cebisan daging rakan penumpang yang maut itu sebagai satu-satunya cara untuk terus hidup. "Itu saja cara bagi membolehkan kami bertahan dalam kesejukan pada ketinggian 5,000 meter dari aras laut.

"Dalam kesejukan di pergunungan itulah saya sedar 'jangan cakap soal mati selagi kita masih bernafas'," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Pembabitan Belia (YES 2009) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.


Nando berkata, selepas 12 hari berjalan merentasi pergunungan Andes yang disifatkan ramai pendaki profesional sebagai pergunungan yang paling sukar tanpa sebarang pengalaman dan peralatan, mereka berjumpa penduduk di perkampungan kecil Chile yang memberi mereka makanan dan menghubungi pihak berkuasa.


Beliau dan Canessa serta 14 penumpang lain yang menunggu di sebuah lembah di pergunungan itu dikenali sebagai El Valle De Las Lagrimas berjaya diselamatkan pada 23 Disember 1972.

"Pasukan mencari dan menyelamat sebenarnya tidak menyangka kami masih hidup dalam keadaan cuaca yang sejuk dan tanpa bekalan makanan," katanya.

Pada sidang medianya, beliau berkata, kejadian itu menjadikannya lebih tabah dan berani menempuhi cabaran dalam kehidupan tanpa mengenal putus asa selain mengubah kehidupannya untuk lebih menyayangi keluarga.

Berikutan itu, beliau menasihatkan belia supaya jangan sekali-kali ragu dengan keupayaan diri dan sentiasa menyayangi diri sendiri.

Bercerita lanjut mengenai nahas itu, Nando yang ketika kejadian berusia 21 tahun berkata, nahas berlaku waktu beliau dalam perjalanan menaiki pesawat bersama 45 rakan pasukan ragbi menuju ke Chile untuk menyertai perlawanan ragbi.

Nahas itu juga mengorbankan ibu dan adik perempuannya dan beliau menyifatkan saat 'mengebumikan' mereka dalam sajli tebal adalah masa paling getir dalam hidupnya.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur YES 2009, Harmandar Singh pada majlis penutup berkata pihaknya akan berusaha untuk menjemput Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama untuk menghadiri persidangan tahun depan.


No comments: